MENTERI Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah harus bertanggungjawab penuh atas kekeliruan membabitkan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyebabkan dua diplomat ke negara itu dipanggil pulang.
Bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, jika berada dalam situasi sama beliau akan mengendalikan siasatan dalaman terlebih dahulu.
Jelas Anifah, walaupun Wisma Putra sudah mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan bahawa tindakan itu adalah kerana kegagalan mereka menyelaraskan pengurusan dan logistik, namun kedua-duanya tidak harus dipanggil pulang dengan tergesa-gesa.
“Ini memalukan negara dan menteri harus bertanggungjawab terhadap kekurangan di kementeriannya, beliau harus mempertahankan pegawainya.
“Saya berasa curiga bagaimana diplomat kanan dan berpengalaman boleh terlepas pandang maklumat penting terutama jika membabitkan hal ehwal perdana menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Anifah, ketika menjadi menteri luar, beliau akan berada di lapangan lebih awal untuk memastikan segala persediaan sudah dibuat.
Terdahulu, Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan bahawa langkah memanggil pulang duta besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan konsul jeneral Malaysia di Dubai adalah disebabkan kegagalan dua pegawai terbabit menguruskan lawatan Ismail ke Dubai pada 29 hingga 31 Mac lalu.
Dua pegawai kanan terbabit gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan perdana menteri seperti yang sepatutnya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi lawatan peringkat tertinggi negara di luar negara terutama semasa ketibaan Perdana Menteri di Dubai pada 29 Mac.
Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh imigresen Dubai selain tiadanya liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Perdana Menteri seperti amalan SOP. – Malaysiapost

