KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk isu Akta Anti Lompat Parti.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri yang berkenaan kerana ambil langkah menerima pandangan dan menghormati semangat persefahaman yang kita meteria dalam MoU Perdana Menteri, kerajaan dan juga PH.
“Ini perkara yang disepakati PH dan kerajaan kita telah sampai tahap yang menyenangkan kerana isu ini memang menarik minat rakyat kerana ia menghormati mandat rakyat dan menolak apa-apa pengkhianatan terhadap mandat rakyat.
“Saya ucap terima kasih kepada YB Menteri kerana menyentuh perkara ini dengan jelas,” katanya.
Pembentangan dan perbahasan hari ini membabitkan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi punca kuasa membolehkan penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Anwar berharap, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 ini dilakukan bersama dengan pembentangan RUU Anti Lompat Parti.
“Supaya kita tahu pindaan ini bermaksud khusus memenuhi maksud kita dalam meminda atau mengadakan rang undang-undang baru ini.
“Supaya ahli yang berhormat akan dapat kepastian yang dimaksudkan dengan pindaan ini yang kita tahu adalah dengan menterjemahkan dalam rang undang-undang anti lompat ini semangat ini telah dipersetujui,” katanya.
Beliau berkata, pindaan kali ini jika dilihat dari sejarah negara adalah di antara usaha untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi dan mandat rakyat serta untuk memperkukuh institusi pemerintahan itu sendiri. – Malaysiapost

