TIDAK boleh dijadikan klausa dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan sekiranya Ahli Parlimen enggan mengikut keputusan partinya melompat dari satu gabungan kepada gabungan politik lain sehingga mereka dipecat.
Perkara itu dibangkitkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PEJUANG-Jerlun) yang berkata, dalam situasi itu, bukan Ahli Parlimen yang mengkhianati mandat rakyat sebaliknya parti.
“Mengapa pula Ahli Parlimen yang tidak menuruti tindakan parti diminta mengosongkan kerusi kerana dipecat walhal mereka tidak mengkhianati mandat rakyat.
“Inilah yang berlaku kepada saya dan enam lagi Ahli Parlimen Bersatu yang kini bersama PEJUANG,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagaimanapun Mukhriz menyatakan pendiriannya menyokong dengan pindaan RUU itu berkata, ia boleh menyekat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti hingga menjatuhkan kerajaan, terutama jika ada unsur sogokan berbentuk jawatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan habuan lain,
“Tindakan melompat parti yang menyebabkan kerajaan tumbang perlu dicegah dan pindaan undang-undang perlu dibuat,” katanya.
Mukhriz juga turut memberi contoh analogi yang melibatkan Umno pada tahun lalu di mana seramai 15 ahlinya diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (PH-Pagoh) sebagai Perdana Menteri.
“Dalam masa sama, ada 27 Ahli Parlimen tidak mengikuti tindakan Presiden, jadi siapa yang dianggap tidak mengikuti ketetapan parti dan apa sebenarnya ketetapan Umno hingga kesudahannya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub (BN-Bera) daripada Umno dipilih menjadi Perdana Menteri baharu,” katanya.
Mukhriz berkata, semua Ahli Parlimen perlu ikhlas meluluskan pindaan undang-undang itu dan tidak mengambil peluang memaksa Dewan Rakyat dibubarkan sebelum Akta Antilompat Parti digubal,” – Malaysiapost

