Sindiket cuba perdaya pengguna TikTok diserbu

0
1

TIGA lelaki ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Cendana, Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam kerana dipercayai terbabit kegiatan penipuan dalam talian yang menyasarkan pemilik akaun aplikasi TikTok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata serbuan jam 2.50 petang itu susulan maklumat berkaitan kegiatan penipuan dalam talian oleh tiga lelaki berusia 19 hingga 23 tahun terbabit sejak sebulan lalu.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menyasarkan pemilik akaun TikTok dalam kalangan warga tempatan dan warga asing di luar negara dan ketiga-tiga lelaki yang ditahan berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan untuk mendapatkan mangsa dengan cara menambah kenalan dan mewujudkan kumpulan melalui aplikasi berkenaan.

“Senarai rakan TikTok itu kemudian akan diserahkan kepada satu kumpulan sindiket lain bagi tujuan penipuan dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, susulan itu pihaknya merampas tiga unit komputer riba dan 21 unit telefon bimbit pelbagai jenama.

Katanya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan semua tangkapan sedang ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.

“Malah kita sedang mengesan rangkaian sindiket penipuan yang bekerjasama dengan tiga suspek terbabit,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat atau sebarang aktiviti mencurigakan berkenaan penipuan secara dalam talian dengan memaklumkam IPD Dang Wangi di talian 03-26002222. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here