RM10,000 untuk bebaskan remaja Malaysia jadi buruh paksa di Myanmar

0
1

WANG sebanyak RM10,000 terpaksa dibayar oleh keluarga seorang remaja Malaysia berusia 15 tahun bagi membebaskannya yang diperdaya sindiket jenayah di Myanmar.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, remaja itu berjaya dibebaskan susulan tekanan daripada media berhubung kegiatan sindiket jenayah terbabit.

“Remaja itu kini selamat dan menunggu untuk pulang ke rumah melalui Thailand kerana wang tebusan telah dibayar,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media hari ini.

Ibu remaja itu memberitahu wartawan, anak lelakinya dibawa beberapa lelaki tempatan pada 23 Mac lalu yang menjanjikan pekerjaan di Johor.

Tetapi, dia sebaliknya dibawa ke Myanmar melalui laluan haram untuk bekerja dengan sebuah sindiket jenayah.

Susulan tekanan akibat liputan media, pihak yang menahan remaja itu bersetuju membebaskannya jika dibayar wang tebusan.

“Mereka mula-mula meminta 300,000 renminbi (RM200,000), tetapi saya berjaya menurunkan jumlah itu kepada RM23,000 dan kemudian RM10,000 untuk pembebasannya,” kata sepupu remaja itu.

Chong berkata, dengan bantuan ahli perniagaan Malaysia di Thailand, remaja itu bersama seorang lagi remaja Malaysia kini selamat dan menunggu untuk pulang ke tanah air.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Chong berkata dua lelaki Malaysia yang terpedaya oleh sindiket jenayah sama di Kemboja diselamatkan polis tempatan melalui usaha Kedutaan Malaysia di Kemboja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar.

“Mereka antara 10 nama yang kami serahkan kepada Kedutaan Malaysia untuk dibawa pulang ke negara. Kami akan mendapatkan perkembangan lanjut terhadap baki lapan individu,” katanya.

PDRM pada 1 April lalu memaklumkan menerima maklumat dan laporan berhubung sindiket pemerdagangan orang membabitkan warga Malaysia yang diperdaya dan dieksploitasi sebagai buruh paksa di Thailand, Myanmar dan Kemboja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan dilaporkan berkata sepanjang 2021 hingga Mac 2022, pihaknya menerima enam laporan berhubung sindiket berkenaan.

Menurutnya, ia membabitkan 26 mangsa terdiri daripada 24 lelaki dan dua wanita yang masih memerlukan bantuan untuk diselamatkan daripada sindiket-sindiket berkenaan.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah mangsa diperdaya dengan iklan di Facebook mengenai peluang pekerjaan sebagai khidmat pelanggan di luar negara dengan tawaran gaji lumayan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here