7 banduan Penjara Jelebu larikan diri

0
1

SERAMAI tujuh banduan yang menjalani tahanan reman di Penjara Jelebu, Negeri Sembilan melarikan diri pada jam 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, susulan itu, pihaknya dibantu Unit Anjing Pengesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Penjara Jelebu menggerakkan operasi memburu banduan berkenaan.

Katanya, sehingga 7 malam tadi, seorang banduan, Sohaimi Khalid, 50, berjaya ditangkap semula di sebuah kebun sawit di Kongkoi, kira-kira dua kilometer dari Penjara Jelebu.

“Manakala enam lagi banduan yang dalam buruan ialah Mazlan Samah, 39, Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28, Shazuan Md Sharif, 32, Mohd Zairizan Zainal, 42, Muhammad Syafiq Rohmat, 32, dan seorang warga asing, Zainuddin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maslan berkata, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan maklumat daripada orang awam bagi membantu polis mengesan kesemua banduan berkenaan.

“Maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu di talian 06-6136222 atau bilik gerakan IPD Jelebu 06-6137999,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here