KERAJAAN sedang meneliti Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 yang wajar diaplikasikan kepada pelbagai industri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata usaha itu selari dengan Revolusi Industri 4.0 seperti pertanian pintar, tenaga boleh baharu, industri halal dan teknologi perubatan.
Tindakan itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) yang pertama bagi tahun ini, yang telah mengutarakan pelbagai usaha kerajaan bagi merakyatkan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.
“Pembangunan produk nanoteknologi seperti vaksin, ubat terapi kanser, pranti perubatan, teknologi sensor, baja nano, biojisim, panel solar serta pemanis dan perasa dalam produk halal mempunyai permintaan tinggi di pasaran global yang akan melonjakkan ekonomi negara.
“Dalam tempoh lima tahun, Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara akan memberi banyak faedah sosioekonomi kepada negara termasuk mencipta 33,391 peluang pekerjaan merangkumi pekerja berkemahiran tinggi (5,968), separuh mahir (24,755), dan kurang mahir sebanyak 2,668 orang. Industri ini dijangka menyumbang RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, selain itu mesyuarat juga telah membincangkan penawaran (modal insan) dan permintaan (pasaran pekerjaan) dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang memerlukan penyelesaian secara tuntas untuk meningkatkan daya saing STI negara.
Ujarnya, kerajaan memandang serius jumlah pelajar-pelajar dalam bidang STEM yang ketika ini adalah pada kadar 47 peratus, dan sains tulen sebanyak 19 peratus. Minat para pelajar dalam bidang STEM perlu dipertingkatkan dan Kementerian Pendidikan diarah menerajui Hala Tuju STEM.
Dalam masa sama, beliau berkata, mesyuarat tersebut turut menyentuh tentang kepentingan untuk mengetengahkan STI di peringkat komuniti melalui Malaysia Inovasi Sosial (MyIS).
“Kerajaan menerusi penubuhan Inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) juga telah mempergiatkan pengkomersialan hasil inovasi tempatan yang berpaksikan kepada kemampanan sosioekonomi negara,” katanya lagi.
Beliau menambah, mesyuarat juga mengambil maklum akan hubung kait antara kesihatan manusia dan alam semula jadi, biodiversiti dan perubahan iklim.
Katanya, pandemik Covid-19 yang merupakan salah satu penyakit zoonotik telah mengakibatkan 6.11 juta kematian di dunia dan terdapat penyakit-penyakit zoonotik lain seperti denggi dan zika yang juga berpunca daripada status keadaan alam semula jadi yang semakin terancam.
“Bagi memastikan Malaysia selangkah di hadapan dalam menangani isu ini secara holistik, mesyuarat juga bersetuju agar Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama daripada semua pemegang taruh untuk menggubal Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN),” katanya. – Malaysiapost

