
DUA daripada tiga penyelam yang masih hilang di Pulau Tokong Sanggol, di Mersing pada Rabu lalu ditemukan selamat oleh nelayan tempatan kira-kira jam 1 pagi tadi.
Mereka ialah penyelam warga Britain, Adrian Peter Chesters, 46, dan wanita warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18.
Bagaimanapun anak kepada Adrian Peter, Nathen Renze, 14, yang juga warga Belanda masih hilang.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata kedua-dua mangsa ditemui di perairan selatan Pengerang berhampiran sempadan perairan Indonesia.
“Dua mangsa berkenaan hanyut telah selamat ditemui jam 1 pagi tadi oleh nelayan tempatan. Nelayan berkenaan menghubungi pihak polis, mangsa kemudian diselamatkan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor dan dihantar ke darat.
“Mangsa kini berada di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil. Seorang lagi mangsa Nathen Renze masih belum ditemui dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan,” katanya memetik Berita Harian.
Menurut Cyril Edward, berdasarkan penemuan terbaru dua penyelam itu, kawasan pencarian diubah ke arah bawah selatan.
“Berbanding kawasan pencarian semalaman, kita ubah ke arah lebih bawah di selatan selepas penemuan dua mangsa ini.
“Kita juga telah maklumkan kepada pihak Indonesia dan juga Singapura berhubung penemuan dua mangsa dan makluman pengubahan kawasan pencarian seorang lagi mangsa yang masih hilang,” katanya.
Pada Rabu lalu, empat penyelam warga asing hilang ketika aktiviti latihan selam di Pulau Tokong Sanggol sebelum penyelam warga Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat pada Khamis lalu.
Jurulatih selam itu ditemui di 30 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai hilang kira-kira jam 8.15 pagi oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.
Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran, berkata operasi yang memasuki hari keempat hari ini masih mengekalkan anggota dan aset yang sama.
“Sepatutnya hari ini kawasan pencarian kita tumpu kepada Tenggara Johor, tetapi diubah ke selatan Pengerang.
“Kita akan tumpu aset ke sana dan buat hebahan kepada kapal dagang dan bot nelayan jika ada sebarang penemuan agar maklum kepada kami segera,” katanya. – Malaysiapost
