SEORANG lelaki dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini, selepas didapati bersalah merogol isteri rakannya ketika pecah masuk rumah mangsa pada Januari lalu.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Zul Hafiqhafizi Zakaria, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan, lapor Utusan Malaysia.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati merogol seorang perempuan berusia 26 tahun kira-kira jam 4.20 pagi, di sebuah rumah di Taman Debunga, Merlimau dalam daerah Jasin pada 21 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa sedang tidur sebelum tiba-tiba didatangi tertuduh yang menutup mukanya menggunakan kain putih.
Tertuduh kemudian telah mengugut mangsa menggunakan pisau dan memaksanya menanggalkan pakaian sebelum bertindak merogolnya.
Ketika kejadian, wanita tersebut sedang sarat mengandung tujuh bulan dan tinggal seorang diri, manakala suaminya dipenjarakan atas kesalahan dadah.
Terdahulu, tertuduh yang masih bujang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar hukuman diringankan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon agar hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira tertuduh merupakan kenalan suami mangsa dan tahu lelaki itu dipenjarakan.
Anis Najwa berkata, ketika kejadian mangsa juga sedang sarat mengandung dan jenayah dilakukan meninggalkan kesan trauma serta gangguan emosi sehingga wanita itu kini malu untuk berhadapan dengan keluarga, terutama suaminya.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun daripada tarikh ditangkap iaitu 24 Januari lalu dan dikenakan tiga sebatan. – Malaysiapost

