BEKAS jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui lebih selesa berehat di rumah meskipun menerima pelbagai tawaran dari luar negara.
Menerusi hantaran terbaharu di Facebook miliknya, bekas pemain nombor satu dunia itu mengakui masih mencintai dunia badminton namun tidak mendedahkan butiran tawaran yang diterimanya termasuk tawaran dari luar negara
“Memang benar Chong Wei dapat tawaran, sudah pasti Chong Wei masih cinta terhadap sukan badminton, tetapi pada masa sekarang Chong Wei tidak berniat untuk menjadi pelatih,” catatnya di Facebook, hari ini.
Jelas Chong Wei, buat masa ini beliau lebih selesa berada di Malaysia dan sedang menunggu untuk menyambut Aidilfitri.
“Chong Wei akan terus lepak di Malaysia, layan bazaar Ramadan dan tunggu jemputan open haus Raya,” katanya.
Pada 2019, Chong Wei mengumumkan persaraannya pada usia 37 tahun kerana perlu mengutamakan kesihatannya.
Jelas Chong Wei, ia adalah keputusan paling sukar pernah dibuatnya, namun selepas berfikir panjang termasuk mendapatkan pandangan isterinya Datin Wong Mew Choo. – Malaysiapost

