Pelitup muka berkelulusan SIRIM: Jangan tambah beban rakyat

0
1
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10225087280182808&set=pb.1042693881.-2207520000..&type=3

SEORANG pemimpin pembangkang mempersoalkan keputusan kerajaan mengenakan denda sehingga RM100,000 bagi individu susulan syarat memakai pelitup muka bukan perubatan perlu mendapat kelulusan SIRIM.

Ahli Parlimen Kangar dari PKR, Noor Amin Ahmad berkata beliau membaca banyak rungutan susulan pengumuman oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Selain isu kemungkinan peningkatan kos pembekalan dan pembelian pelitup muka ini.

“Jumlah denda setinggi RM100,000 tentulah tidak masuk akal memandangkan denda kesalahan tidak memakai pelitup muka hanya pada kadar RM1,000 sahaja,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, dalam peralihan ke fasa endemik ketika rakyat berusaha bangkit semula memulihkan kehidupan masing-masing, syarat tersebut mesti diteliti semula agar tidak menambah beban rakyat.

Pada 5 April lalu, KPDNHEP mengumumkan berkuat kuasa 4 Julai ini, pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna.

Memetik laporan Berita Harian, KPDNHEP menyebut penandaan MS SIRIM hendaklah diperoleh pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd, iaitu pihak berkuasa yang dilantik kementerian.

Menurut KPDNHEP, pewartaan itu bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan ditetapkan.

Menurut kementerian itu, tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport.

Syarikat yang tidak mematuhi arahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.

Bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi selama tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Noor Amin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here