KERAJAAN dan pembangkang kekal sependapat dalam memorandum persefahaman (MoU) politik yang dimeterai tahun lalu mengenai Akta Anti Lompat Parti.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata setakat ini kedua-dua belah pihak kekal dengan apa yang dimeterai dalam MoU berkenaan.
“Sebab ini kali pertama satu pindaan Perlembagaan yang agak fundemental sifatnya yang perlu dirunding oleh kerajaan dan pembangkang. Kita tahu kerajaan tak cukup dua per tiga.
“Di mana kedua-dua pihak kekal sependapat ada dalam MoU masukkan itu adalah satu perkara yang kita bersama-sama sepakat untuk melaksanakannya,” katanya kepada media, di Putrajaya, hari ini.
Annuar berkata demikian mengenai maklum balas Rang Undang-Undang Akta Lompat Parti tidak akan dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin depan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) berkenaan di Dewan Rakyat.
Jelasnya, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan pada sidang khas akan datang sebaliknya akan dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’. – Malaysiapost

