Covid-19: Lebih separuh kes positif semalam tidak bergejala

0
1
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

SEBANYAK 12,105 kes baharu Covid-19 direkodkan setakat semalam dengan lebih separuh daripadanya atau 54.7 peratus membabitkan individu tidak bergejala.

Perkembangan terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 4,280,591 kes, sejak wabak melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes yang dilaporkan semalam, sebanyak 54.7 peratus atau 6,623 kes adalah pesakit Covid-19 dalam kategori satu atau tidak bergejala.

“Selain itu sebanyak 5,387 kes (44.5 peratus) adalah dalam kategori dua, kategori tiga (40 kes), kategori lima (38) dan kategori empat (17). Secara keseluruhannya daripada 95 kes kategori tiga hingga lima itu sebanyak 57 kes atau 60 peratus membabitkan individu yang mempunyai komorbid.

“Ia diikuti 53.68 peratus atau 51 kes dalam kalangan individu berusia 60 tahun keatas, sudah menerima dos penggalak (37 kes), sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (30) dan tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksin (28),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkembangan itu juga menjadikan sehingga kini terdapat 162,216 kes yang masih aktif di negara ini, daripada jumlah berkenaan 97.6 peratus atau 158,343 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu terdapat 3,279 kes pula kini sedang mendapatkan rawatan di hospital; Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (373), Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan (122) dan ICU (99).

Dalam pada itu terdapat 32 kes kematian yang dilaporkan setakat semalam termasuk sembilan kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here