Saya jual ayam bukan nak bayar saman kakak ipar – Ali Puteh

0
3

PELAWAK Ali Puteh menafikan yang dia mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan pembekalan ayam mentah adalah semata-mata untuk membayar saman RM60,000 kepada kakak iparnya Siti Nor Hidayah Mohd Ali.

Sebaliknya, pemilik nama Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan itu menegaskan, dia menceburi perniagaan itu adalah untuk mempelbagaikan punca pendapatannya selain memenuhi tuntutan fardu kifayah.

“Saya tak kerja untuk bayar duit itu. Saya baru sahaja menjalin usahasama sebagai duta untuk jenama Red Grocer. Dalam masa yang sama turut menggalas tugas sebagai rakan kongsi.

“Saya tahu, akan ada yang cakap kini mula berniaga sebab nak bayar duit itu tetapi bila fikir-fikir semula, netizen memang akan sentiasa bercakap pun.

“Saya memilih untuk senyum sahaja berkata terima kasih. Saya nak fokus pada kerja dan perniagaan ini saja. Saya tak kerja untuk bayar duit itu, tidak ada kaitan. Fokus berniaga ini lebih kepada fardu kifayah,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Juara Maharaja Lawak Mega 2019 berkata, di luar kemampuan untuk dia menghalang cakap-cakap negatif terhadapnya.

Katanya, usaha dilakukan bukanlah untuk membayar wang seperti mana yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap balu abangnya itu.

Dalam pada itu, Ali turut menjelaskan walaupun mula berjinak dalam bidang baru namun ianya sama sekali tidak menjadi penamat terhadap karier seninya.

“Saya ini berpegang kepada pendirian untuk terus maju ke depan dalam apa sahaja yang saya lakukan. Begitu juga bila sebut tentang industri. Berniaga bukan bermakna saya akan mematikan kerja-kerja seni saya.

Tambahnya, dia dengan Mamak sama sekali tidak pernah membubarkan kumpulan Puteh dan telah berbincang sebelum ini.

“Hal ini sudah dibincangkan awal-awal. Kalau membabitkan kerja-kerja untuk Kumpulan Puteh, kami akan bergerak sama. Kalau untuk kerjaya solo, masing-masing akan menghormati jalan masing-masing,” katanya.

Pada ada 18 Februari lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali untuk membayar kos sebanyak RM60,000 kepada bekas kakak iparnya itu akibat mengeluarkan kata-kata aib di Instagramnya, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Ali memaklumkan akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi berikutan terdapat beberapa fakta yang didakwa tidak tepat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here