PEMIMPIN Umno yang ‘kuat’ memihak kepada Bersatu perlu menilai sendiri segala tindak tanduk politik dan tabiat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang begitu terdesak untuk kembali menjadi Perdana Menteri, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu berkata, pihak dalam Umno yang masih mahu bekerjasama, mempercayai dan mempertahankan Bersatu perlu sedar mengenai perkara itu.
“Kepada mana-mana pihak dalam Umno yang masih mahu bekerjasama, mempercayai dan mempertahankan Bersatu, mereka harus menilai sendiri segala tindak tanduk politik dan tabiat Pengerusi PN dan Bersatu ini yang begitu terdesak mahu kembali jadi PM.
“Mahukah kita terus bekerjasama dengan parti sedemikian? Umno ini tidak sempurna. Tetapi kita tidaklah terdesak, menjual prinsip dan sanggup melakukan apa sahaja semata-mata mahu menebus malu dan menggenggam kuasa,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Ahmad Zahid, perjumpaan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad membongkar niat sebenar Ahli Parlimen Pagoh itu.
“Presiden Bersatu dilaporkan mahu kembali menjadi PM dan mahu kerjasama dengan Parti Pejuang.
“Kita fikir mereka berdiri atas ideologi. Rupa-rupanya semua demi kepentingan peribadi,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mendedahkan bahawa Muhyiddin juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Begitu juga (Datuk Seri Mohd) Shafei Apdal mengakui beliau dihubungi oleh Pengerusi Perikatan Nasional (Muhyddin) yang dipercayai berkaitan dengan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan dalam pilihan raya umum pada masa akan datang.
“Namun Shafei Apdal dilaporkan sudah memberikan kata putus menolak permintaan tersebut selepas pengkhianatannya dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Baru-baru ini, Dr Mahathir mendakwa Muhyiddin meminta sokongannya dalam usaha untuk kembali menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu, memandangkan Muhyiddin juga adalah individu yang menjadi punca beliau ‘hilang’ jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Dia (Muhyiddin) nak saya sokong dia dalam usaha untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi.
“Saya tak tau nak kata apa (kepada Muhyiddin) saya bukan (lagi) Perdana Menteri, sebab Muhyiddin dia tikam belakang saya tak dapat jadi PM, lanie (sekarang) dia minta tolong orang yang (dia) tikam belakang tapi tak mati lagi,” katanya.
Semalam, media melaporkan, DAP menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu susulan tawaran Muhyiddin untuk menjalinkan kerjasama dengan pembangkang.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng menegaskan, tiada peluang kedua bagi Muhyiddin susulan pengkhianatan dilakukan menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan.
Sementara itu, Shafie yang juga Presiden Warisan mendedahkan, Muhyiddin menghubunginya, dipercayai bagi membentuk kerjasama baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

