‘Panggil ‘boss’ kamu Anwar Ibrahim debat dengan saya’ – Najib jawab Rafizi

0
2

DATUK Seri Najib Razak menyatakan kesediaan untuk menerima cabaran Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk berdebat berhubung isu Sapura Energy Bhd.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri, berkata namun Rafizi perlu memanggil Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk turut sama dalam sesi debat berkenaan.

“Rafizi nak debat isu Sapura? Boleh. Tapi panggil ‘boss’ kamu Anwar Ibrahim debat dengan saya.

“Kamu boleh sama-sama atas pentas untuk debat bersama atau bantu dia. ‘Two versus one, no problem’,” katanya menerusi Facebook.

Najib berkata, situasi itu sama juga seperti mana Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar beliau berdebat berhubung isu FELDA pada PRN Johor lalu.

Katanya, ketika itu beliau juga bersetuju dengan pelawaan Mohamed Azmin namun meletakkan syarat supaya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga turut berdebat dengannya.

“Ini seperti kes Azmin cabar debat dengan saya berhubung FELDA pada PRN Johor dan saya bersetuju dengan syarat Muhyiddin yang debat dengan saya. Azmin boleh debat bersama atau bantu Muhyiddin,” katanya.

Dalam ada itu, Najib berkata, sekiranya Anwar tidak mahu berdebat dengannya Rafizi boleh berdebat dengan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil.

“Isham Jalil yang merupakan pemenang debat piala Perdana Menteri bagi tahun 1991 manakala Rafizi menang tahun 1992,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Rafizi bersedia untuk berdebat secara terbuka dengan Najib bagi merungkai isu-isu ketika pentadbiran dan selepas pentadbiran bekas Perdana Menteri itu.

“Saya setuju untuk berdebat dengan Najib, kalau mana-mana pihak nak jemput saya berdebat boleh cuma masalahnya saya yakin Najib tidak akan setuju,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here