
MALAYSIA mencatat 56 kes kematian baharu akibat Covid-19 setakat semalam, dengan 11 daripadanya adalah kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).
Menurut data portal COVIDNOW, perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 kini meningkat kepada 35,069 kes.
Dalam pada itu, sebanyak 14,692 jangkitan baharu Covid-19 direkodkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes mencecah 4,234,087, sejak wabak melanda negara.
Sebanyak 20,383 lagi kes sembuh turut dilaporkan setakat tengah malam tadi, menyumbang kepada jumlah 3,997,786 pesakit pulih, setakat ini.
Tiga negeri merekodkan 10 kematian baharu, iaitu Perak (termasuk dua BID), Selangor (termasuk lima BID) dan Kuala Lumpur.
Johor menyusul dengan lapan korban baharu termasuk satu BID; Kedah (tujuh dengan dua BID); Melaka (tiga dengan satu BID); Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing dua); serta Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Terengganu (masing-masing satu).
Dalam pada itu, sebanyak 201,232 kes aktif dilaporkan setakat tengah malam tadi.
Seramai 196,491 individu atau 97.6 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah dan 555 ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Sebanyak 3,295 kes pula dirawat di hospital dan 261 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 153 daripadanya memerlukan mesin ventilator. – Malaysiapost
