Ramadan medan tarbiyah diri – Idris

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=342955154539467&set=pb.100064749544314.-2207520000..&type=3

KESEMPATAN menyambut bulan Ramadan kali ini perlu dijadikan sebagai medan tarbiyah umat Islam dengan harapan mengecapi pengampunan dan darjat takwa daripada Allah SWT.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, berkata umat Islam perlu merebut sebanyak mana ganjaran yang terbentang luas dan apa yang terpenting adalah usah untuk mendapatkan takwa.

“Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT, kerana mempertemukan lagi kita dengan bulan Ramadan Al-Mubarak.

“Kita melihat ada di kalangan keluarga, sahabat-handai dan saudara-mara kita ada yang tidak berkesempatan bertemu Ramadan pada tahun ini.

“Ini semua adalah ketentuan Allah SWT yang bersifat dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, para salafus soleh berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan memohon agar dapat bertemu lagi dengan bulan Ramadan kerana takut sekiranya tidak sempat untuk bertemunya kembali.

Menurutnya, apabila di imbas kembali, musibah Covid-19 yang melanda masuk tahun ketiga sehingga menjadi bencana seluruh dunia adalah satu peringatan.

“Kebelakangan ini pula dalam negara banyak berlaku kejadian alam seperti banjir, ribut, tanah runtuh dan sebagainya menjadi peringatan kepada kita.

“Jangan kita lupa betapa banyak nyawa telah dijemput oleh-Nya. Begitu juga kerosakan-kerosakan harta benda akibat musibah yang menimpa kita sebagai peringatan agar kembali bertaut sepenuhnya kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

“Jadikan Ramadan sebagai madrasah untuk mengislahkan diri kita untuk jadi insan yang tunduk kepada Allah,” katanya.

Idris turut menyeru umat Islam merebut pahala di bulan Ramadan ini dengan enam amalan iaitu sentiasa berdoa supaya diberikan kesihatan yang baik agar mampu laksanakan ibadah dengan sempurna.

“Mengimarahkan masjid dan surau dengan solat berjemaah dan beriktikaf; dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat khususnya solat tarawih.

“Memperbanyakkan membaca al-Quran; memperbanyakkan bersedekah; dan menjamu orang lain berbuka puasa,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Idris Ahmad

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here