Tiada unsur culik kes Sofia Raniya

0
2

SIASATAN awal polis mendapati kanak-kanak berusia lapan tahun, Sofia Raniya, yang tular selepas dilaporkan hilang semalam, tersalah menaiki bas ketika pulang dari sekolah petang semalam.

Justeru, polis menolak kemungkinan terdapat unsur culik berhubung kes itu dan tidak menerima sebarang laporan culik membabitkan kanak-kanak berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim, berkata berdasarkan keterangan pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1, Cheras, kanak-kanak itu dikatakan mengikut kawan-kawannya menaiki bas.

“Kanak-kanak itu ditemukan di sebuah pondok pengawal keselamatan sebuah kondominium di Cheras,” katanya.

Azmi berkata, polis memandang serius akan perkara itu dan berharap terdapat inisiatif pihak terbabit untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang, antaranya meletakkan tanda khas di van sekolah bagi memastikan murid tidak keliru.

“Mungkin ada kekeliruan berlaku khususnya anak-anak yang baru kali pertama kali bas.

“Jadi mungkin disebabkan kekhilafan ini, perkara seperti semalam berlaku ke atas kanak-kanak itu,” katanya.

Polis Cheras semalam membuat hebahan di media sosial bagi mengesan Sofia Raniya yang dilaporkan hilang di sekolahnya.

Kanak-kanak terbabit bagaimanapun dilaporkan ditemui dengan selamat kira-kira dua jam selepas hebahan kehilangannya dibuat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here