Pahang benarkan rapat saf solat berjemaah

0
1
Masyarakat Islam hadir ke Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menunaikan solat Jumaat ketika tinjauan Malaysiapost hari ini. Difahamkan hanya 300 orang sahaja dibenarkan oleh petugas-petugas masjid. Kerajaan membenarkan solat di masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri ketika pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini.

PAHANG mengikut jejak beberapa negeri lain dengan membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau secara merapatkan sejadah atau saf tanpa berlaku sentuhan fizikal bermula esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Zulkifle Ali, berkata penggunaan prosedur operasi standard (SOP) baharu itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah.

“Dengan penguatkuasaan SOP baharu ini yang lebih banyak memberi ruang kepada kehadiran jemaah dan aktiviti pengimarahan yang lebih banyak.

“Bagaimanapun semua jemaah diingatkan ancaman Covid-19 belum berakhir, dan teruskanlah mempertingkat kawalan kendiri dan dapatkan dos penggalak vaksin sebagai ikhtiar meningkatkan imuniti tubuh badan,” katanya dalam satu kenyataan.

Smeentara itu, menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi, JAIP memaklumkan bahawa sejadah hendaklah dibawa sendiri oleh setiap jemaah dengan saiz minimum 110 sentimeter (sm) panjang dan 70sm lebar.

“Masjid dan surau dibenarkan melaksanakan solat sunat Tarawih 20 rakaat. Jumlah jemaah adalah tertakluk kepada keluasan kapasiti masjid atau surau dan kemampuan kawalan terhadap jemaah.

“Selain itu pihak pengurusan digalakkan menyediakan ruang khas untuk jemaah musafir,” katanya.

Kebenaran juga diberikan bagi penganjuran aktiviti pengajian ilmu dan keagamaan seperti kuliah, kelas pengajian al-Quran, qiamullail, seminar, kursus haji dan umrah, penyampaian sumbangan, mesyuarat serta sambutan hari kebesaran Islam.

“Kehadiran imam, khatib dan penceramah dari luar Pahang adalah dibenarkan dan mereka perlu melakukan ujian saringan menggunakan kit ujian kendiri,” katanya.

Menurut JAIP, jamuan termasuk majlis berbuka puasa, moreh dan sahur juga dibenarkan dengan penyediaan makanan digalakkan secara berbungkus. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here