MySejahtera: Rakyat perlu penjelasan konkrit, telus – Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membuat penjelasan secara terperinci, telus dan terbuka berhubung isu aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, isu penjualan, penyerahan atau penyumberan luar perkhidmatan MySejahtera kepada pihak ketiga menjadi bualan hangat dan menimbulkan kegelisahan rakyat.

“Yang menjadi persoalan dan pertikaian ramai, adakah data dan maklumat peribadi jutaan rakyat Malaysia kini berada dalam kawalan dan pemilikan pihak swasta yang berorientasikan perniagaan/keuntungan?.

“Jika benar, mengapakah perkara ini tidak dimaklumkan oleh Kerajaan sejak awal?,” soalnya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, kegelisahan dan persoalan rakyat kepada Kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu tersebut adalah sesuatu yang munasabah dan berasas.

“Ia bukan kepanikan yang dibuat-buat atau dibesar-besarkan tanpa sebab. Ia melibatkan masyarakat awam secara langsung.

“Perkara ini mesti diterangkan dengan cara yang menghilangkan keraguan dan spekulasi yang sedang menular. Bukan sekadar kenyataan media satu muka surat. Perlu ada sesi penjelasan yang khusus,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, isu itu memerlukan penjelasan kerana data yang dikutip dan diuruskan selama dua tahun adalah terlalu banyak dan melibatkan masyarakat awam secara menyeluruh.

“Kedua, pemberian data selama ini adalah atas anggapan yang ia diuruskan oleh kerajaan. Malah, berlaku satu ‘misrepresentation’ dalam hal ini.

“Ketiga, ia boleh menyebabkan kehilangan keyakinan masyarakat terhadap penggunaan aplikasi ini. Impaknya, ramai yang akan mula untuk tidak merekodkan maklumat seperti yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu sudah tentu akan menyukarkan proses pemantauan dan pengumpulan maklumat.

“Kesemua ini menuntut agar penjelasan dan penerangan yang terperinci dibuat secara bertanggungjawab.

“Secara peribadi, saya percaya, wujud situasi yang mewajarkan kerajaan untuk menyerahkan pengurusan sesuatu perkara kepada pihak swasta atau entiti bukan kerajaan atas pelbagai alasan.

“Ia termasuk disebabkan kekurangan sumber dan tahap kecekapan yang lebih baik. Tetapi perkara tersebut mestilah dilakukan dengan ketelusan dan ‘disclosure’ yang selengkapnya,” katanya.

Juster, beliau berharap perkara itu akan diuruskan oleh Kerajaan dengan baik kerana Umno adalah parti yang melihat suara rakyat sebagai asas kepada semua dasar dan tindakan kerajaan serta tidak boleh dikesampingkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here