JPM adakan sesi libat urus RUU Anti Lompt Parti, Pengehadan Tempoh Jawatan PM

0
1

INPUT dan pandangan semua pihak atau parti yang diperoleh daripada sesi libat urus yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan diambil kira semasa penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata perkara itu seterusnya akan dibawa ke Kabinet dan Parlimen untuk dibahaskan.

Beliau berkata, perkara sama juga dilakukan dalam RUU Penghadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri.

“Petang ini saya bersama wakil parti Barisan Nasional (BN) bagi membincangkan persoalan dasar RUU Lompat Parti dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri.

“Sesi perbincangan ini adalah sebahagian perancangan siri sesi libat urus yang telah dianjurkan oleh BHEUU, JPM bagi memastikan input dan pandangan semua pihak/parti diambil kira semasa penggubalan RUU ini,” katanya di Facebook, hari ini.

Menurutnya, dalam sesi berkenaan, wakil Jabatan Peguam Negara turut menjelaskan draf RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan Berhubung Dengan Anti Lompat Parti dan Tempoh Pemegangan Jawatan Perdana Menteri.

“Insya-Allah segala pandangan, idea dan komitmen yang diberikan semasa libat urus ini akan diambil kira dalam draf akhir RUU ini.

“Diharapkan dengan adanya RUU ini akan menstabilkan politik tanah air demi kebaikan bersama,” katanya.

Terdahulu, Wan Junaidi dilaporkan berkata, RUU Anti Lompat Parti akan dibentangkan pada 11 April ini dalam satu sidang khas Parlimen.

Menurutnya, perkara itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis Parlimen berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(3) dan juga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here