WANITA viral mengamuk di 7E memohon maaf secara terbuka dan meminta orang ramai tidak memulaukannya untuk berniaga di pasar malam.
Menerusi aplikasi TikTok semalam, Kak Long atau nama sebenarnya Wan Nor Baizura dilihat bersama seorang lelaki yang menjadi wakil jurucakapnya untuk membantu dirinya menjernihkan keadaan bagi meneruskan kehidupan untuk mencari rezeki dengan aman tanpa ‘diboikot’ oleh orang ramai.
Lelaki itu berkata, periuk nasi Kak Long di pasar malam telah ‘diboikot’ malah dimarahi orang sekeliling, kerana video viral tempoh hari yang dikatakan memburukkan orang kurang upaya (OKU).
“Pergi pasar malam orang marah-marah tak bagi meniaga…nak sara anak, mak dan suami yang tak sihat, tolonglah faham.
“Berhentilah post video-video dan jadi batu api.. jangan boikot dia, dia nak cari rezeki…,” kata lelaki itu.
Sehubungan itu, Kak Long memohon maaf kepada semua pihak di atas perilakunya yang buruk.
Malah, dia juga mengakui kesilapan di kedai serbaneka itu juga berpunca daripada khilafnya sendiri, namun dia terkilan timbul isu baru apabila beberapa video lama didakwa sengaja dipotong dan ditularkan oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Maafkan, kak long.. jangan boikot, kak long Kak long ada anak kecil, tanggung anak-anak.. anak-anak sekolah, nak kena bayar yuran, nak kena belajar hari-hari, duit makan.. tolong jangan boikot kak long.
“Suami tak boleh kerja lagi sebab tak berapa sihat. Ada di hospital.. tolong jangan boikot kak long, minta maaf semua.. saya pernah terfikir untuk terjun bangunan tapi fikir anak-anak,” katanya sambil ditenangkan rakannya. – Malaysiapost

