Raja Permaisuri Agong ziarah pasangan kembar siam pramatang

0
1

RAJA Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam, berkenan berangkat menziarahi pasangan kembar siam pramatang yang berjaya dipisahkan melalui pembedahan oleh pasukan Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka disambut Pengarah HTA, Dr Shamsul Anuar Kamarudin, Timbalan Pengarah HTA, Dr Marina Abdullah Sani dan Pakar Perunding Pembedahan Kanak-Kanak HTA, Datuk Dr Zakaria Zahari.

“Pada lawatan itu juga, Tunku Azizah turut berkenan meluangkan masa melawat bayi ‘Biliary atresia’ yang baru menjalani pembedahan pemindahan hati yang diterima daripada ayahnya.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar semua bayi itu berada dalam keadaan yang baik dan segera pulih serta dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, HTA memaklumkan hospital itu mencipta sejarah apabila buat julung kalinya berjaya melakukan pembedahan memisahkan pasangan kembar siam pramatang berusia 17 hari pada 19 Mac lalu.

Pembedahan itu diketuai Dr Zakaria dan membabitkan 13 doktor pakar termasuk enam pakar bedah kanak-kanak dari seluruh negara serta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here