TERDAPAT beberapa Ahli Parlimen kerajaan keluar Dewan Rakyat ketika pengundian usul Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), dakwa Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menteri Dalam Negeri itu juga menzahirkan rasa terkilan terhadap tindakan tersebut yang menyebabkan usul berkenaan gagal mendapat kelulusan Dewan Rakyat, Rabu lalu.
Malah, Hamzah mendakwa tindakan beberapa Ahli Parlimen kerajaan itu disebabkan kerana mereka ‘tidak suka’ melihat wajahnya.
“Saya rasa agak terkilan dengan beberapa Ahli Parlimen terutamanya daripada pihak kerajaan sendiri yang saya difahamkan ada dalam dewan ketika undi belah bahagi, (tetapi) ketika nak undi, dia keluar.
“Sudah tentu saya tidak gembira (dengan tindakan keluar Dewan Rakyat). Sebahagian daripada mereka, mereka sudah berada di dewan tetapi keluar bila undi belah bagi. Itu tidak adil, saya boleh namakan siapa.
“(Alasan keluar) Sebab mereka tak suka muka saya,” katanya kepada media selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas mengenainya, Hamzah berkata, tindakan yang ditunjukkan Ahli Parlimen blok kerajaan itu mencerminkan pemikiran individu yang tidak memikirkan tanggungjawab kepada negara.
“Saya dah jelaskan, Sosma ini isu keselamatan negara. Bila ditolak oleh pembangkang, maknanya walaupun mereka mengaku sayangkan negara, dia tak sedar bahawa Sosma dilakukan selepas kita tarik semula ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).
“Bila kita hapuskan ISA, ketika itu, ada beberapa peristiwa lepas ISA ditarik balik, (dan) banyak berlaku jenayah terancang.
“Maka sebab itu, kita fikir instrumen yang mustahak kena ada. Akhirnya kita bertolak ansur dengan beri 28 hari sahaja, ia begitu bertolak ansur untuk semua pihak. Apabila akta telah diluluskan, dan telah disambung pada 2017, (tetapi) akhirnya tamat pada Julai tahun ini,” katanya.
Rabu lalu, Dewan Rakyat gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma untuk tempoh lima tahun lagi.
Dalam undian belah bahagi itu mendapati 84 Ahli Parlimen menyokong manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir. – Malaysiapost

