Speaker umum keputusan baru usul Sosma

0
1

DEWAN Rakyat petang ini memperbetulkan kekhilafan keputusan undi belah bahagi usul melanjutkan tempoh kuatkuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), yang diumumkan petang semalam.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, hasil semakan terakhir keputusan itu semalam, pihaknya bersetuju berhubung undi yang diterima usul yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin itu sepatutnya undi bersetuju 85, bukan 84 yang diumumkan petang semalam.

“YB Jempol, Datuk Seri Salim Sharif memaklumkan berkenaan senarai undi bagi blok D1 semasa undi belah bahagian bagi usul dari Menteri Dalam Negeri yang dijalankan semalam.

“Beliau yang merupakan penghitung undi bagi blok D1, memaklumkan telah terkhilaf menandakan YB Besut, Datuk Seri Idris Jusoh tidak hadir dalam senarai undi walaupun yang sebenarnya YB Besut hadir semasa undian tersebut.

“Oleh itu, saya menggunakan Peraturan Mesyuarat 100 untuk meminda keputusan belah bahagian bagi usul dari Menteri Dalam Negeri daripada 84 bersetuju kepada 85 bersetuju dan tidak hadir dipinda dari 50 kepada 49 sahaja, manakala 86 tidak bersetuju tetap sama,” katanya ketika memulakan sidang Parlimen sesi petang, hari ini.

Semalam, usul Menteri Dalam Negeri untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Sosma bagi tempoh lima tahun lagi gagal melepasi undi belah bahagi apabila 86 Ahli Parlimen tidak bersetuju. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here