Pegawai Bukit Aman ke Singapura, siasat kes suami Zeti

0
1

SEPASUKAN pegawai penyiasat Bukit Aman akan ke Singapura pada 29 hingga 31 Mac ini, untuk mengambil keterangan beberapa saksi bagi membantu siasatan kes suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr Tawfiq Ayman.

Siasatan berkaitan dakwaan Tawfiq menerima dana dikaitkan dengan 1Malaysian Development Berhad (1MDB), lapor Berita Harian hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata beberapa saksi di Singapura sudah bersetuju untuk diambil keterangan.

“Siasatan di negara terbabit adalah bagi mendapatkan keterangan dan dokumen diperlukan. InsyaAllah dengan dapatnya keterangan dan dokumen, kita boleh teruskan dan rujuk semula kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya.

“Kita ada saksi-saksi di sana membabitkan perbankan, jadi saksi dari pihak bank itu bersetuju untuk mberi kerjasama,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ di ibu negara.

Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi saksi tambahan yang akan memberi keterangan, bergantung kepada keadaan.

Sebelum ini Tawfiq, suami kepada Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.

Beliau juga menyatakan tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng, dan jauh sekali bertemu atau berkomunikasi dengan mereka.

Ia susulan keterangan Leissner, bekas Pengerusi Goldman Sachs pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahan syarikat perbankan itu, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, baru-baru ini.

Dalam perbicaraan itu, Leissner dilaporkan menyebut kegiatan rasuah membabitkan Tawfiq mengenai projek usaha sama PetroSaudi-1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, SPRM dilapor mendedahkan, sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura disimpan oleh syarikat milik Tawfiq. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here