DAP akui masih perlukan Tony Pua

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP yang baharu, Anthony Loke mengakui parti itu masih memerlukan khidmat Tony Pua terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, Tony yang juga Ahli Parlimen Kota Damansara adalah ‘aset’ yang sangat penting kepada DAP dan sumbangan dan khidmat beliau sangat diperlukan kepada parti.

Kenyataan Anthony itu susulan kegagalan Tony mendapat tempat dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP, Ahad lalu.

“Saya nak menyatakan secara terbuka bahawa Tony Pua adalah “aset” yang sangat penting kepada DAP.

“Khidmat dan sumbangan beliau masih amat diperlukan. Saya berharap beliau akan terus membantu parti dan saya untuk menghadapi segala cabaran di depan kita terutamanya PRU15,” katanya menerusi Facebook.

Anthony berkata, beliau amat memahami perasaan kekecewaan Tony susulan kegagalan dalam pemilihan CEC Ahad lalu.

“Saya amat memahami perasaan kekecewaan beliau. Selepas 15 tahun menyumbang masa dan tenaga untuk perjuangan parti, sumbangan beliau seolah-olah tidak dihargai dalam pemilihan parti pada hari Ahad yang lalu.

“Namun, ini adalah asam garam dalam politik. Usaha kita tidak selalunya mendapat balasan yang setimpal mahupun dihargai. Keputusan perwakilan perlu diterima dengan hati yang terbuka seperti beliau nyatakan dalam kenyataannya semalam,” katanya menerusi Facebook.

Jelas Anthony, Tony amat lantang di Parlimen dengan membongkarkan pelbagai isu dan skandal yang melibatkan projek-projek kerajaan, termasuk membangkitkan pelbagai persoalan di dalam dan di luar Dewan.

“Para wartawan di lobi Parlimen tidak pernah jemu mendengar sidang media beliau kerana setiap kenyataan akhbarnya sarat dengan fakta dan angka yang tepat.

“Sejak tahun 2008, beliaulah menjadi jurucakap DAP berkenaan Belanjawan tahunan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Anthony berkata, Tony tidak pernah bosan untuk menjelaskan setiap perincian Belanjawan setiap tahun kepada orang ramai melalui forum dan wawancara media ataupun kepada Ahli-ahli Parlimen DAP yang memerlukan penjelasan.

“Sebelum isu 1MDB difahami oleh kebanyakan rakyat Malaysia sekitar 2016 dan 2017, beliau sanggup pergi ke seluruh pelusuk negara untuk memberikan pencerahan selagi ada pihak yang sudi menganjurkan acara ceramah atau forum.

“Sudah tentu, segala titik peluh beliau dalam isu 1MDB menyumbang sedikit sebanyak kepada kejayaan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14

“Beliau juga merupakan seorang pemimpin parti komited dan sanggup mengambil tanggungjawab dalam tugasan yang sukar seperti mengetuai projek ‘Impian’ di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Tony yang gagal mendapat tempat dalam pemilihan CEC DAP Ahad lalu, mengakui terkejut kerana gagal mendapat tempat dalam jawatankuasa berkenaan.

Malah, bekas Setiausaha Politik Lim Guan Eng itu mengakui tidak menjangkakan akan terlepas kedudukan dalam kepimpinan tertinggi secara keseluruhannya.

Tony yang juga Ketua Publisiti Kebangsaan DAP, hanya memperoleh 744 undi menyebabkannya gagal mendapat tempat dalam CEC yang hanya memberi peluang kepada 30 anggota parti.

Susulan itu, Tony memaklumkan kepada Anthony beliau tidak bersedia menjadi ahli CEC yang dilantik kerana secara jelasnya perwakilan tidak mahukannya dalam kepimpinan tertinggi parti itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here