Anwar puji PM Pakistan perjuangkan isu Islamophobia.

0
1

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kepimpinan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan yang menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengiktiraf tarikh 15 Mac sebagai Hari Memerangi Islamophobia.

Menurutnya, tarikh itu juga mengingatkan peristiwa hitam pada 15 Mac 2019 apabila seorang lelaki bersenjata memasuki dua masjid di Christchurch, New Zealand, membunuh 51 orang dan mencederakan 40 yang lain termasuk rakyat Malaysia.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, sebarang ideologi yang membawa kepada penindasan berdasarkan kaum dan agama adalah sangat tercela.

“Penghinaan terhadap Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad sebagai Rasulullah SAW adalah salah satu bentuk diskriminasi tidak berperikemanusiaan ini yang menyemarakkan xenofobia, tidak bertoleransi dan keganasan di seluruh dunia.

“Kesediaan untuk bertolak ansur dengan penghapusan etnik, pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman penduduk Islam adalah manifestasi menyedihkan kesan sebenar Islamofobia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, resolusi yang diluluskan oleh UNGA turut menyatakan kebimbangan yang mendalam mengenai peningkatan keseluruhan dalam diskriminasi, sikap tidak bertoleransi dan keganasan.

“Saya tidak memandang rendah rancangan jahat untuk memburukkan Islam. Saya berharap dengan kelulusan resolusi ini masyarakat antarabangsa akan melakukan lebih banyak lagi untuk menolak segala bentuk diskriminasi,” katanya.

Anwar berkata, dalam ucapan di Perhimpunan Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam di Islamabad, Imran Khan menyatakan bahawa umat Islam turut harus dipersalahkan kerana membenarkan Islamofobia merebak.

“Saya percaya umat Islam mesti berusaha untuk menjadi kuasa pembangunan, keadilan dan keamanan dalam masyarakat jika ingin mengubah persepsi dunia tentang Islam mengenai ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, dan kemiskinan.

“Itulah sebabnya saya percaya kepelbagaian kaum di Malaysia yang mematuhi kedaulatan undang-undang dan menunjukkan belas kasihan antara masyarakatnya boleh menjadi kuasa positif untuk keamanan di tanah air dan di seluruh dunia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here