Sesi persekolahan hari ini berjalan lancar – Radzi Jidin

0
1

SECARA keseluruhan sesi persekolahan bagi Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 yang bermula pada hari ini berlangsung dengan lancar dan teratur, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Menurutnya, bagi tempoh dua minggu ini, kehadiran murid sekolah rendah adalah secara bersemuka manakala murid sekolah menengah memulakan persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Katanya, bagi sekolah rendah dengan enrolmen murid kurang 600 orang, kehadiran adalah tanpa penggiliran.

“Kehadiran murid ke sekolah secara bersemuka, khususnya murid Tahun 1 adalah amat baik.

“Ini dapat saya perhatikan sendiri semasa tinjauan pengoperasian beberapa buah sekolah di sekitar kawasan Parlimen Tambun, Perak sempena hari pertama sesi persekolahan Penggal 1 tahun 2022/2023 pagi ini,” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu yang juga Ahli Parlimen Tambun meninjau beberapa sekolah di Ipoh hari ini.

Antara sekolah yang dikunjungi adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pakatan Jaya, SK Seri Tanjung, SK Syed Idrus, SK Seri Kelebang, SK Manjoi Satu dan SK Manjoi 2.

Radzi berkata, seramai 2.7 juta murid melibatkan murid sekolah rendah dan Kolej Vokasional memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di seluruh negara hari ini.

“Daripada jumlah ini, seramai 442,828 adalah murid Tahun 1 yang akan mengikuti Program Transisi Tahun 1 untuk tempoh 4 minggu.

“Khusus bagi negeri Perak, seramai 210,148 murid hadir secara bersemuka dengan 30,648 daripadanya merupakan murid Tahun 1,” katanya.

Beliau berkata, daripada pemerhatiannya anak-anak sungguh bersemangat untuk memulakan persekolahan mereka bersama rakan dan guru.

“Terima kasih kepada pentadbir sekolah, guru serta ibu bapa atas kerjasama yang diberikan untuk memastikan pembukaan sesi persekolahan ini berjalan dengan baik.

“Semoga kerjasama erat semua pihak akan terus diperkukuh, termasuk usaha untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan pengoperasian sekolah dipatuhi.

“Ini agar sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dapat terus dilaksanakan dalam keadaan lancar, teratur dan selamat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here