Kenapa tak bagi keluarga Beng Hock ketika perintah 22 bulan?

0
1
zahida zarikh khan

PUTERI Umno mempersoalkan motif DAP meminta kerajaan membayar pampasan RM1.5 juta kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock, sama seperti diberikan kepada keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata jika benar prihatin, sepatutnya DAP telah membayar pampasan yang sewajarnya kepada keluarga mendiang kerana pernah menguasai kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Cara kematian pun dah berbeza, Arwah Adib meninggal dunia ketika tragedi keganasaan yang berpunca daripada hasutan pemimpin DAP.

“Kalau betul betul prihatin, kenapa tak bagi ketika 22 bulan DAP dominan dalam kerajaan PH?

“Hasil Kutipan tabung Harapan sudah lebih dari cukup untuk menyumbang sedikit pada keluarga mendiang Teo Beng Hock. Mana duit tu?,” soalnya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta kerajaan membayar pampasan kepada keluarga Beng Hock sebanyak RM1.5 juta, sama seperti diberikan kepada keluarga arwah Adib.

Menurutnya jumlah pampasan yang sama juga perlu dibayar kepada ahli keluarga individu yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis.

“Menyeru kepada kerajaan untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan Muhammad Adib Mohd Kassim, Teoh Beng Hock dan mereka yang mati dalam tahanan polis.

“DAP mengalu-alukan pembayaran ganti rugi RM1.5 juta kepada keluarga Muhammad Adib, tetapi pembayaran sama harus diberi kepada keluarga Beng Hock dan juga mereka yang mati dalam tahanan,” katanya.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang ialah Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan ketika itu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021, memaklumkan kerajaan membayar ‘ex gratia’ berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga Muhammad Adib.

Perdana Menteri berkata, walaupun siasatan masih berjalan tetapi kerajaan telah membayar pampasan tersebut kepada keluarga arwah yang dibuat pada 29 November 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here