DAP minta penjelasan peningkatan ekuiti Bumiputera

0
1

MENTERI Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz digesa supaya menjelaskan berhubung pelaksanaan dasar kuota Bumiputera bagi projek-projek besar kerajaan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, berkata ia susulan pada sidang media beberapa hari lalu, Tengku Zafrul mengatakan bahawa kerajaan akan mengekalkan model rangkaian borong tunggal (SWN) untuk rangkaian telekomunikasi mudah alih 5G.

Penyedia perkakasan rangkaian yang dilantik iaitu Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd telah merangka pelan pelaksanaan dengan mengoptimumkan kerja kontrak dan perkhidmatan bagi vendor tempatan, dengan anggaran 61 peratus daripadanya dapat memanfaatkan kepentingan Bumiputera.

Menurut Guan Eng, kerajaan persekutuan perlu menjelaskan sekiranya terdapat perubahan dasar yang besar, kerana tindakan itu hanya perlu dilakukan dengan merujuk semua pihak berkepentingan terlebih dahulu.

“Kerajaan harus menjelaskan kenaikan ini kepada 61 peratus kepentingan Bumiputera, sama ada ini kini menjadi penanda aras baru untuk kontrak perolehan utama kerajaan.

“Bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah menetapkan kepentingan Bumiputera dan penyertaan vendor tempatan pada kadar 40 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, syarikat Bumiputera masih boleh membida untuk bahagian bukan Bumiputera melalui tender terbuka dan untuk berkembang secara unilateral kepada 61 peratus, perubahan dasar utama harus dilakukan dengan berunding penuh bersama.

Pada 16 Mac, Zafrul dilaporkan berkata pelaksanaan model SWN itu akan memastikan tiada implikasi kewangan tambahan ke atas kontrak yang telah termeterai dengan Ericsson.

Dia berkata pengekalan model SWN merupakan pendirian tegas kerajaan terhadap kesinambungan dasar di Malaysia.

Sementara itu, Lim dalam kenyatannya turut mendakwa syarikat penghantaran barang yang telah beroperasi sejak sebelum 1990 itu juga diancam terpaksa menyerahkan pengawalan ke atas syarikat mereka.

Menurutnya, sebelum ini terdapat percubaan untuk meningkatkan dasar ekuiti Bumiputera ke atas syarikat tersebut kepada 51 peratus ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir.

“Tetapi kementerian kewangan telah bersetuju bahawa ejen fret (freight forwarder) yang telah diberikan lesen sebelum tahun 1990 tidak akan kehilangan kuasa kawalan ke atas syarikat mereka.

“Syarikat yang dikeluarkan lesen selepas tahun 1990 masih diwajibkan memiliki 51 peratus ekuiti Bumiputera.

“Dan kini terdapat penanda aras baru sebanyak 61 peratus. Bolehkah kerajaan atau presiden MCA, MIC dan menteri GPS menjelaskan bila ia diluluskan dalam kabinet?” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here