UMNO diminta segera menamatkan kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) kerana tiada sebab untuk parti terus menyimpan ‘kudis yang akan menjadi barah’.
Perwakilan Terengganu, Bazlan Abd Rahman, berkata di peringkat akar umbi di Terengganu jelas mahukan hubungan PAS dan Umno dalam MN ditamatkan.
“Jika sudah tahu penyakit ini mudarat, kenapa masih berlengah untuk berubat? Ubat mujarab ialah memutuskan hubungan politik dengan PAS.
“Tamatkan MN dengan segera. Bahkan itu lah yang di tunggu oleh PAS sendiri. Jadi kenapa perlu kita takut? Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Orang tak hendak kita pun tak ingin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan Presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menceritakan pengalaman MN di Terengganu, Bazlan berkata, Umno menguasai satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun dipandang sepi oleh kerajaan negeri pimpinan PAS.
Katanya, sepanjang dua tahun melayari bahtera MN di Terengganu, tiada cerminan sebenar terjemahan muafakat yang dapat ditunjukkan.
“Dalam banyak hal, kerajaan PAS Terengganu tidak langsung mengambil kira keberadaan wakil rakyat Umno, Barisan Nasional (BN) yang dipilih rakyat.
“Bahkan pemimpin nombor satu kerajaan PAS Terengganu sendiri pun tidak hadir sewaktu pelancaran MN peringkat negeri. Adakah PAS Terengganu benar-benar ikhlas menghormati piagam MN yang ditandatangani di peringkat pusat?,” katanya. – Malaysiapost

