Desakan Umno berjaya – Ahmad Zahid

0
1

HASIL kesungguhan dan usaha secara istiqamah Umno, akhirnya hari ini Perdana Menteri memutuskan untuk membenarkan pengeluaran sekaligus RM10,000 dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang memerlukan, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menzahirkan rasa bersyukur kerana usaha gigih Umno selama ini membuahkan hasil yang diharapkan.

“Walaupun terdapat pelbagai alasan, kelengahan dan tentangan dari banyak pihak, Umno tidak berganjak dari perkara yang benar dan bermanfaat.

“Justeru, perkara ini membuktikan dengan jelas yang Umno adalah parti yang mendengar rintihan dan suara akar umbi Umno. 

“Dan Umno akan mengusahakan segala yang baik. Lambat atau cepat, semua itu hanyalah proses yang mesti dilalui dengan kesungguhan dan ketegasan,” katanya di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Umno nekad untuk terus mengusahakan lebih banyak dasar dan inisiatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan hidup masyarakat. 

“Kerana, inilah Umno sebenarnya. Sebuah parti yang berdiri atas amal bakti. Sebuah parti yang hidup dengan nadi dan suara rakyat,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara tersebut juga mengajar  satu perkara penting iaitu Umno mesti menjadi parti yang kuat, stabil dan diyakini.

“Hanya dengan menjadi parti yang besar dan kuat, suara serta desakan Umno tidak dipandang enteng oleh sesiapa pun yang menjadi kerajaan.

“Insya-Allah semoga perjuangan Umno istiqamah dan kita akan dapat terus bersama-sama membawa kebaikan kepada masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here