LELAKI warga emas berusia 65 tahun ditahan polis selepas dipercayai memandu secara melulu dan berbahaya, hingga sanggup menggadaikan nyawa anak, menantu dan dua cucu dalam kenderaan yang dipandunya.
Suspek berasal dari Kampung Rahmat, Setiu, Terengganu itu dikesan melakukan kesalahan memotong secara melulu di garisan berkembar dan memotong garisan panjang tanpa menghiraukan kenderaan yang datang daripada arah bertentangan.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Ismail Man, berkata suspek juga tidak mematuhi lampu isyarat yang hampir mengakibatkan sebuah kenderaan lain terbabas.
“Perbuatan warga emas tersebut amat merbahaya pada diri sendiri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain di Kilometer (KM) 47 sehingga KM 57 Jalan Kuala Terengganu – Kelantan, di Setiu, semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, lelaki terbabit telah memberhentikan kenderaannya di Jalan Kilang Sawit, Kampung Rahmat Chalok dan semasa anggota polis membuat pemeriksaan, suspek telah bertindak agresif dengan menumbuk kepala anggota terbabit yang mengakibatkan kecederaan bengkak di bahagian kepala sebelah kanan.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu berjaya menahan suspek pada jam 12.30 tengah hari (semalam) di sebuah rumah Jalan Kilang Sawit.
“Laporan polis telah dibuat bagi tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara melulu dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah,” katanya.
Menurutnya, polis sentiasa peka dan komited dalam memastikan peraturan lalu lintas dipatuhi sepenuhnya oleh semua pengguna jalan raya.
“Ini bagi melindungi setiap pengguna jalan raya daripada sebarang kemalangan dan kecelakaan di samping memastikan kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara,” katanya. – Malaysiapost

