SEORANG pelajar kolej bukan sahaja kempunan mendapatkan khidmat seks, malah wang simpanan berjumlah RM10,000 turut ditipu sindiket.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Deputi Superintendan Azmi Aziz, berkata mangsa berusia 18 tahun itu terjerat dengan tawaran perkhidmatan itu selepas menemui pautan laman web menerusi Twitter.
“Mangsa kemudian berkomunikasi dengan sindiket melalui aplikasi Telegram menggunakan nama @Xiaoai18 dan dimaklumkan mengenai pakej perkhidmatan seks berharga RM300 untuk tempoh dua jam.
“Bayaran perlu dibuat melalui tambah nilai Razer Gold. Mangsa kemudian diminta untuk menunggu di hadapan sebuah kedai serbaneka di Batu Berendam, jam 1 petang hari sama.
“Namun mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki yang memintanya membuat bayaran deposit tambahan sebagai cagaran bagi memastikan pelacur tidak dicederakan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Azmi berkata, mangsa kemudian membuat pemindahan wang sebanyak lima kali membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM10,000 ke akaun bank diberikan sindiket.
Namun, katanya, selepas melakukan pembayaran, pelajar terbabit langsung tidak dihubungi oleh mana-mana wanita seperti dijanjikan.
“Dia bagaimanapun yang menyedari ditipu kemudian hadir ke Balai Polis Bukit Baru untuk membuat laporan pada hari sama,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Justeru, polis mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran yang mencurigakan di sosial media khususnya,” katanya. – Malaysiapost

