Najib tidak pernah halang PSC siasat 1MDB – Azmi

0
1

BEKAS Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir mendedahkan Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menghentikan siasatan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) terhadap isu membabitkan syarikat itu.

Azmi yang menjadi saksi pendakwaan ke-12 setuju dengan perkara tersebut ketika pemeriksaan balas dengan ketua pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion dana 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, lapor MalaysiaKini.

Terdahulu, Shafee bertanya Azmi berhubung dakwaan peranannya dalam memperdaya juru audit Deloitte dan KPMG berkenaan status kewangan 1MDB.

Beliau merujuk laporan PSC bertarikh 7 April 2016 yang antara lain mengesyorkan agar tindakan diambil terhadap pasukan pengurusan 1MDB.

Selain Azmi, pengurusan syarikat itu turut dianggotai bekas CEO, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Shafee: Signifikan tarikh ini (7 April 2016) adalah perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu adalah Najib. Apabila dapatan (PSC) dibuat, dia (Najib) tidak menghalang PSC, dan PSC dapati pegurusan 1DMB telah memperdaya lembaga pengarah (1MDB). Adakah Najib halang PSC daripada menyiasat?

Azmi: Tidak, dan kontrak saya (sebagai CFO) diperbaharui. Saya tidak kelihatan seperti melakukan sebarang kesalahan pada masa itu. Jika anda kata pengurusan (1MDB) ada buat kesalahan, tetapi kontrak saya diperbaharui, maka ia tunjukkan saya tak buat apa-apa yang salah.

Shafee kemudian membalas jika Najib di sebalik sebarang salah laku dalam 1MDB, maka anak guamnya itu pasti akan menghentikan siasatan PSC. Azmi setuju dengan hujah itu.

Azmi menjadi CFO 1MDB pada 2012 hingga 2017.

Dalam prosiding hari ini, Azmi juga menafikan dia bersubahat dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, untuk memperdaya pihak yang melakukan audit terhadap 1MDB.

Azmi berkata demikian untuk menafikan hujah Shafee yang dia telah memperdaya juru audit antarabangsa, KPMG dan Deloitte dalam audit kewangan 1MDB.

Ketika itu, Shafee bertanya Azmi berhubung dakwaannya bahawa juru audit perlu menjawab sebarang salah laku yang dikesan dalam 1MDB.

Shafee membangkitkan yang hanya Najib berdepan pendakwaan berkaitan 1MDB di Malaysia, sementara anggota pasukan pengurusan seperti Azmi tidak didakwa.

“Saya tidak memperdaya (juru audit) atau bersubahat (dengan Jho Low),” kata Azmi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here