BEKAS Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini, menegur kepimpinan parti itu yang didakwa telah membuang ‘Budaya Politik Matang Sejahtera PAS’ (BPMS) yang selama ini menjadi dasar parti berkenaan.
Beliau berkata demikian merujuk kepada beberapa tindakan yang dilakukan parti itu termasuk serangan bertali arus pemimpin utama PAS kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.
“Perlu diterima hakikat bahawa serangan keras bertali arus oleh pimpinan utama PAS dan PN terhadap Umno/BN yang masih lagi menjadi rakan muafakat PAS menerusi MN meliarkan golongan atas pagar untuk mengundi PAS dan PN.
“(Tindakan itu) jauh sekali boleh menarik penyokong BN untuk menyokong PN. Budaya Politik Matang Sejahtera PAS (BPMS) yang menjadi dasar parti telah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, beliau percaya perkara itu pasti tidak akan diakui oleh pemimpin PAS dalam bedah siasat pilihan raya parti tersebut.
“Namun hakikat ini pastinya tidak akan diperakui oleh pimpinan dalam bedah siasat pilihanraya nanti.
“Budaya penafian (denial syndrome) dan menyapu sampah ke bawah karpet jika terus dibiarkan akan membunuh parti satu hari nanti,” katanya.
Menurut Khairuddin, PAS harus sedar bahawa walak dan ketaatan tidak seharusnya mematikan muhasabah dan kritikan.
Katanya, PAS juga perlu menerima kritikan secara terbuka memandangkan parti itu kini tidak lagi mengendahkan teguran dalaman, sebaliknya membocorkan kepada awam sehingga menimbulkan fitnah.
“Kritikan bukannya penderhakaan terhadap walak. Kritikan terbuka perlu diterima disaat teguran dalaman menerusi mesyuarat tertutup tidak lagi diendahkan.
“Bahkan (teguran dalaman) dibocorkan kepada awam sehingga menimbulkan fitnah kepada orang yang menegur,” katanya.
Menjelang PRN Johor, hubungan PAS dan Umno bertambah tegang susulan kedua-dua parti itu saling menyerang antara satu sama lain dalam kempen pilihan raya masing-masing.
Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumpamakan Umno seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar Muafakat Nasional (MN) yang dirintis selepas pilihan raya umum lalu.
Dalam kempen PRN Johor, Abdul Hadi juga dilaporkan turut mengajak pengundi Johor untuk menghukum BN agar ia dapat dijadikan pengajaran kepada parti berkenaan.
“Kerana terlalu lama memerintah, berlakulah isu-isu seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melibatkan pemimpin-pemimpin Umno dan BN seperti mana diketahui umum hari ini,” katanya. – Malaysiapost

