TIADA sebarang petunjuk ditemui oleh pasukan penyelamat setakat jam 6 petang hari ini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas yang dilaporkan hilang semasa aktiviti pendakian di Puncak Jelapang, Ipoh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil berkata, operasi SAR yang dijalankan pada hari kedua meliputi sektor A dan B serta sebahagian sektor D membabitkan laluan berbatu dan curam.
“Setakat ini, kita masih tiada petunjuk baharu meskipun telah mengikuti trek yang digunakan mangsa serta laluan alternatif yang mungkin digunakan pendaki di kawasan itu.
“Malah, dron dari Unit Dron Bukit Aman yang digunakan dalam operasi pada hari kedua juga gagal mengesan kedudukan sebenar mangsa,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Menurut beliau, operasi ditangguhkan dan akan disambung esok dengan memberi tumpuan kepada sektor C iaitu satu lagi laluan alternatif ke laluan utama berhampiran sebuah tokong
“Selain bomba dan polis, operasi turut disertai 11 pegawai dan anggota dari Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Chemor serta 35 rakan mangsa dari pasukan pendaki, Harrier House,” katanya.
Terdahulu, kehilangan mangsa, Lau Sam, 84, disedari ahli kumpulannya sekitar jam 6.30 petang kelmarin, setelah didapati tidak tiba di kaki bukit. – Malaysiapost

