AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin terlupa pernah membuat perjanjian bersama Barisan Nasional (BN) ketika bergelar Perdana Menteri.
Menurutnya, antara perjanjian tersebut adalah berkenaan Lembaga Tabung Haji (TH), dan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
“Semasa beliau menjadi Perdana Menteri, semua perjanjian ini diletakan tepi dan tidak diambil peduli, malah ada banyak yang ambil keputusan membelakangi parti Barisan Nasional.
“Semasa mengumumkan darurat, beliau tidak berbincang dengan parti-parti yang menubuhkan kerajaan bersama beliau.
“Hari ini, beliau mengatakan bahawa Perdana Menteri perlu berbincang dengan parti-parti lain sekira mahu melakukan pembubaran Parlimen,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Razlan berkata, walhal ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau tidak berbincang dengan parti-parti lain untuk membuat keputusan besar.
“Ini lah Muhyddin, muslihat dan kata-kata beliau hanya demi keuntungan di pihak beliau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, negara seharusnya mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) secepat mungkin bagi memperoleh mandat baru, seterusnya mewujudkan keyakinan kepada sistem pentadbiran dan demokrasi negara.
“Negara sudah mencapai Imuniti Berkelompok, janji Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri kepada Istana, Pilihanraya akan dilakukan sebaik mencapai 80 peratus vaksinasi.
“Hari ini, rakyat Malaysia sudah mempunyai Booster, tiada lagi alasan kononnya keputusan Pembubaran tidak menentingkan kesihatan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, Muhyiddin sekali lagi meletakkan kepentingan diri sekiranya sengaja mahu melewatkan PRU, menyebabkan ekonomi negara meruncing kerana hilang keyakinan pelabur ekoran ketidakstabilan politik.
“Muhyddin hanya akan bersetuju sekira beliau pasti kemenangan akan wujud kepada pihak beliau, biarpun rakyat sengsara, biarpun rakyat tidak cukup makan, selagi Muhyddin tidak yakin, beliau akan mencipta pelbagai alasan demi kepentingan mereka,” katanya. – Malaysiapost

