
SELEPAS gagal menyerlah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Perikatan Nasional (PN) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbincang dengan parti itu jika ingin mengadakan pilihan raya mengejut.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia adalah sebahagian perjanjian ataupun persetujuan antara parti itu dengan Ismail sebelum diangkat sebagai Perdana Menteri.
“Persetujuan itu atas dasar beberapa perkara yang kita sepakati PN dan Perdana Menteri.
“Satu daripada yang kita persetujui bila mana Perdana Menteri nak buat keputusan untuk bubar Parlimen atau pun mendapat perkenan Agong untuk bubar Parlimen.
“Beliau hendaklah berunding dan berbincang dulu dengan pemimpin tertinggi dalam PN, itu perkara yang kita persetujui,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru malam ini.
Perdana Menteri dijangka akan menerima tekanan pemimpin Umno supaya segera membubarkan Parlimen bagi membuka jalan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Desakan itu dijangka akan bermula pada Perhimpun Agung Umno yang bakal diadakan minggu depan.
Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan bahawa Ahli Parlimen PN paling ramai dalam kerajaan berbanding Umno.
“Bilangan kita adalah lebih besar iaitu 72 Ahli Parlimen (termasuk GPS), Umno hanya 42 Ahli Parlimen,” katanya.
Bagaimanapun kata Muhyiddin PN sedia menghadapi PRU15 jika ia diadakan pada bila-bila masa.- Malaysiapost
