Hasni calon tunggal MB Johor – Zahid

0
2

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Datuk Seri Hasni Mohammad akan dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Ahmad Zahid, berkata nama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkenaan akan dikemukakan kepada baginda untuk pertimbangan selanjutnya.

Beliau berkata, pencalonan tunggal sedemikian bertujuan memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan jaminan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang ingin dirintis.

“Saya akan mengemukakan nama Hasni agar mendapat perkenan Tuanku dan boleh meneruskan tugas sebagai Menteri Besar Johor.

“Ikhtiar BN Johor akan dilaksanakan dan kami sebagai kepemimpinan pusat, akan terus membantu Hasni untuk melaksanakan semua ikrar atau ikhtiar ini dengan secepat mungkin, bermula dengan Belanjawan Johor 2023.

“Kepada seluruh pengundi Johor, bagi pihak BN, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi, tetapi jangan lupa untuk mengundi BN pada PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) akan datang,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 kepada Istana Johor, pagi ini.

Keputusan diserahkan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dan diterima oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Malam tadi, SPR mengesahkan Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor.

Abdul Ghani dilaporkan berkata, jumlah pengundi yang keluar mengundi membabitkan 1.426 juta atau 54.92 peratus.

“Keputusan penuh PRN Johor adalah BN 40 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 11, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi, manakala PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula masing-masing satu kerusi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here