54 kompaun langgar SOP sepanjang PRN Johor

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KMM) berpuas hati terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata sebanyak 54 kompaun dikeluarkan sepanjang PRN berkenaan.

“Secara keseluruhannya kita (KKM) berpuas hati terhadap pematuhan SOP dengan 54 kompaun dikeluarkan sepanjang tempoh PRN Johor.

“Kompaun dikeluarkan kepada mereka yang betul-betul melanggar SOP. Saya telah minta penguat kuasa menggunakan budi bicara.

“Sebagai contoh satu kompaun dikeluarkan kepada pemberita yang saya batalkan. Budi bicara ini berdasarkan kepada garis panduan dikeluarkan, tidak 100 peratus terserah kepada penguat kuasa,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menurutnya, pihaknya akan menambah baik garis panduan berkenaan dari semasa ke semasa.

Ditanya SOP pesakit Covid-19 yang ingin mengundi, Khairy berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Perkara itu perlukan perbincangan lanjut kerana soal hendak mewujudkan satu pusat mengundi bagi yang positif Covid-19 mesti difikirkan dari sudut hak mereka (mengundi) dan juga sudut kesihatan awam.

“Rakyat berhak untuk tidak dijangkiti Covid-19, jadi dalam mengimbangi kedua-dua keadaan ini kita kena cari apakah kaedah terbaik.

“Ada cadangan supaya dibuat di PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19), tapi saya hendak maklumkan bahawa 96 peratus daripada kes positif sekarang, mereka duduk di rumah, pulih di rumah. Saya akan bincang dengan SPR supaya satu mekanisme yang selamat yang boleh diwujudkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here