BARISAN Nasional (BN) belum memutuskan siapa yang akan menjadi ‘poster boy’ gabungan itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat gabungan itu dan diumumkan nanti walaupun ketika ini nama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpotensi menjadi pilihan poster boy BN.
“Kita punyai sistem musyawarah dan kebersamaan barisan pembuat keputusan lazimnya akan mengadakan perbincangan bagi menentukan bahawa parti harus berada di garisan hadapan dan ketika itu kita akan umumkan,” katanya dalam sidang media di pusat operasi pilihan raya MIC, di Tampoi, hari ini.
Zahid yang juga Presiden Umno menjawab soalan sama ada Ismail Sabri akan menjadi wajah yang menghiasai sepanduk kempen pada PRU-15 atau jika ada calon lain yang akan menggantikan perdana menteri itu.
Sebelum ini, Zahid memberitahu media BN merasakan bahawa PRU-15 tidak seharusnya ditangguhkan lebih lama lagi dan sebaik-baiknya diadakan selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Hari ini hari Jumaat dan (esok) pilihan raya di Johor. Tidak sesuai saya umumkan siapakah poster boy kita dalam PRU-15.
“Kita tunggu apabila parti membuat keputusan,” kata Zahid. – Malaysiapost

