Tanah runtuh: Seorang maut, seorang terselamat dan 3 lagi dikhuatiri tertimbus

0
1

MANGSA kedua yang ditemui tertimbus akibat tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang, disahkan meninggal dunia.

Wanita warga emas berusia 85 tahun, berjaya dikeluarkan pada jam 9.10 malam dan mangsa adalah isteri kepada mangsa pertama lelaki warga emas yang diselamatkan pada jam 6.54 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata wanita warga emas terbabit ditemui dalam rumah No 2, yang terletak bersebelahan lokasi tanah runtuh di Jalan T1/2J.

“Dia kemudian dibawa keluar oleh pasukan penyelamat sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Pasukan penyelamat percaya tiga mangsa dikhuatiri masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berkenaan dan mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan.

Tiga lagi mangsa berkenaan dipercayai membabitkan dua penduduk rumah teres dua tingkat di lokasi kejadian serta seorang pekerja kontraktor syarikat penyelenggaraan Air Selangor.

Mohamad Farouk berkata, ketika ini operasi SAR mangsa masih dilakukan secara berterusan membabitkan lebih 100 pegawai dan anggota pasukan penyelamat.

“Kami turut menyarankan penduduk di kawasan berhampiran lokasi kejadian untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Taman Mega Jaya, demi keselamatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, operasi mencari dan menyelamat akan tetap diteruskan, namun bergantung kepada keadaan cuaca.

“Setakat ini tiada pergerakan tanah dikesan namun kita tidak menolak kemungkinan akan menghentikan seketika usaha mencari tiga lagi mangsa sekiranya hujan lebat berlaku,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here