KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan membina lebih banyak pencawang telefon selular bagi membantu masyarakat Johor, khususnya Kota Tinggi meningkatkan taraf hidup melalui perniagaan secara dalam talian.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif itu selari dengan komitmen dan arahan Perdana Menteri dalam pengumuman pada 9 Mac lalu.
Justeru, katanya, beliau telah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan untuk meningkatkan perkhidmatan khususnya di kawasan berpenduduk.
“Selain membina struktur pemancar baharu, naik taraf stesen pemancar sedia ada, penyambungan rangkaian gentian optik dan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan, satu daripada 13 struktur pemancar baharu telah siap dilaksanakan manakala 12 lagi dalam pelaksanaan.
Katanya, untuk kerja naik taraf stesen pemancar pula, 70 telahpun siap dan tiga stesen lagi proses naik taraf sedang giat dilakukan.
“Kerja-kerja penyambungan gentian optik pula menyaksikan 3,934 premis sedang dilengkapi dengan kemudahan berkenaan sementara 669 premis lagi telah dilengkapi dengan gentian optik.
“Kemudahan enam PEDi sedia ada di Kota Tinggi juga turut memberi nilai tambah dan kemudahan kepada penduduk setempat dalam melaksanakan urusan seharian mereka,” katanya.
Beliau berkata, setakat suku keempat 2021, liputan 4G di Johor berada pada paras 98.68 peratus dan angka berkenaan disasarkan meningkat kepada 99.14 peratus menjelang akhir tahun 2022.
“Manakala bagi kelajuan jalur lebar pula, setakat suku keempat 2021, ia adalah selaju 28.15Mbps dan disasarkan akan meningkat kepada 35Mbps,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, KKMM beriltizam memberi perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia di Johor melalui pelbagai inisiatif direncanakan, bukan sahaja di Kota Tinggi malah kawasan FELDA akan terus diberi perhatian.
“Justeru, saya berharap penduduk di Kota Tinggi akan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini demi meningkatkan taraf kehidupan seperti berniaga secara dalam talian sekaligus mempelbagaikan sumber pendapatan,” katanya. – Malaysiapost

