VETERAN Umno Johor menggesa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memohon maaf dan menarik semula kenyataannya yang mendakwa masyarakat Melayu Johor kurang memahami politik Islam.
Pengerusinya, Datuk Othman Jais berkata, Umno yang lahir di Johor sentiasa komited menegak dan mengembangkan syiar Islam di negeri itu.
Menurutnya, dalam sejarah perjuangan Umno Johor, parti itu melawan dan melenyapkan musuh Islam serta menggagalkan gagasan Malayan Union.
“Sepatutnya Tuan Guru Hadi Awang sebelum mengeluarkan kenyataan itu bertanyakan dahulu dengan rakan karibnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dia Menteri Besar Johor selama dua penggal dahulu.
“Namun jika Tan Sri (Muhyiddin Yassin) terlupa, soalan itu boleh juga ditanyakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi,” katanya di Ibu Pejabat Umno Johor di Johor Bahru hari ini.
Isnin lalu, Abdul Hadi mendakwa kurangnya kesedaran politik Islam di Johor sebagai punca PAS tidak mampu menawan hati penduduk negeri ini walaupun menjadi antara negeri terawal ditubuhkan cawangan parti berkenaan.
Sehubungan itu, Othman menolak sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dengan memberi bukti kesuburan Islam di Johor dalam sektor pendidikan khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Boleh dilihat, pendidikan Islam di negeri ini subur dengan adanya sekolah agama di seluruh negeri bermula daripada Tahun Satu hingga Enam, kemudian ditambah darjah khas dan Maahad Johor.
“Pendidikan Islam di negeri ini bermula sejak lebih 100 tahun lalu, sekolah agama dibuka sama ada di bandar atau kampung. Jadi dakwaan sedemikian adalah tidak berasas,” katanya.
Justeru, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buloh Kasap itu berharap Abdul Hadi membuat kenyataan maaf ekoran dakwaan tersebut.
“Kalau dah buat salah dalam berkata-kata mohon maaf, kalau masih tidak mahu itu menunjukkan sikap sendiri yang bongkak. Jangan hanya kerana perbezaan terus kita lupa nilai-nilai Islam,” katanya. – Malaysiapost

