Cuaca buruk: Majikan digesa benarkan kakitangan bekerja dari rumah – Syed Saddiq

0
1

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa majikan membenarkan kakitangan masing-masing untuk bekerja dari rumah sekiranya Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan cuaca buruk.

Beliau berkata, majikan juga perlu kerap memantau ramalan cuaca untuk membolehkan satu arahan bekerja dari rumah dikeluarkan kepada pekerja sebagai tanda timbang rasa kepada kakitangan masing-masing.

“Kepada majikan keraplah tengok ramalan MetMalaysia, kalau ada ramalan hujan lebat atau kemungkinan banjir benarkan kakitangan bekerja dari rumah. Ia sebagai tanda timbang rasa anada kepada pekerja masing-masing,” katanya menerusi video pendek di Facebook.

Dalam pada itu, Syed Saddiq juga menggesa kerajaan bertindak proaktif dalam menangani isu berkenaan dan segera melaksanakan Akta Perubahan Iklim dalam menangani isu terbabit.

“Kita tidak lagi boleh reaktif dalam bertindak balas tetapi mesti proaktif. Justeru, kerajaan perlu segera laksanakan Akta Perubahan Iklim.

“Kita memerlukan pendekatan menyeluruh dan bukan sekadar bantuan ‘one off’ dan kita perlu proaktif dalam melabur dana dalam jangka masa panjang supaya banjir tidak berulang lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, rakyat Malaysia juga perlu menjadikan perubahan iklim sebagai isu nasional.

“Kepada anak Malaysia, ini masanya kita menjadikan isu perubahan iklim ini menjadi isu isu utama negara dan bukan lagi isu sampingan.

“Desak Ahli Parlimen, Menteri Besar, Perdana Menteri, parti politik untuk membawa isu perubahan iklim ke peringkat tertinggi negara. Jika bukan sekarang bila lagi, jika lambat kita tenggelam bersama,” katanya.

Kelmarin, beberapa kawasan sekitar Lembah KIang termasuk ibu kota mengalami banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam petang ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kenyataan di Facebook, memaklumkan beberapa laluan termasuk Besraya Expressway membabitkan laluan dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan Kampung Malaysia ke Kuchai ditenggelami banjir.

Banjir yang melanda menyaksikan ribuan kereta yang letakkan di parkir terbuka dan bawah tanah dalam bangunan sekitar ibu kota ini turut ditenggelami banjir.

Sementara itu, lebih 50 rumah dikesan terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat berterusan di sekitar Selangor, petang ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here