Tun M kini terdesak – Ahmad Zahid

0
1

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi cuba menanam politik kebencian dan kali ini di kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurutnya, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu kelihatan begitu terdesak sehingga terpaksa datang berkempen di Johor sejak beberapa hari lalu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, berkata bekas Perdana Menteri itu dilihat masih dengan pendekatan politik tipu daya dan menggunakan kata-kata kesat.

“Pasti semua masih ingat pada Mei 2019 Dr Mahathir pernah menggelar seseorang yang disanjungi dan disayangi Bangsa Johor sebagai ‘budak bodoh’.

“Beliau juga pernah mendakwa hanya orang bodoh berada dalam Umno dan seterusnya bodoh itu dan bodoh ini dan keluar lagi perkataan bodoh dalam kempen PRN Johor.

“Seolah-olah perkataan bodoh dan Tun Mahathir berpisah tiada. Barangkali pada Tun Mahathir hanya beliau yang pandai dan orang lain semuanya bodoh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, ia contoh yang sangat tidak baik dalam mengetengahkan politik matang dan sejahtera kepada rakyat khususnya generasi muda Johor.

“Kita faham Tun Mahathir sekali lagi cuba menanam politik kebencian seperti yang beliau lakukan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) gara-gara sedang sangat terdesak.

“Kebencian terhadap pemimpin BN yang enggan tunduk kepadanya selepas 9 Mei 2018 lalu beliau zalimi dengan pelbagai tindakan tidak berhati perut,” katanya.

Beliau mendakwa, bekas ‘jeneral’ Dr Mahathir yang kini mengetuai Perikatan Nasional (PN) turut menggunakan pendekatan politik sama sempena PRN Johor.

“Watak pemimpin yang konon merendah diri, pandai baca doa dan mengaku tidak suka mencaci serta menghina selama 17 bulan sudah tiada lagi.

“Kesimpulannya ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Keburukan sedikit sebanyak diwarisi jua. Dalam kisah mereka berdua tampak diwarisi sepenuhnya,” katanya.

Ahmad Zahid berharap rakyat Johor menolak politik kebencian yang tidak sudah-sudah oleh mereka dan memberi fokus kepada apa yang penting kepada masa depan mereka dan negeri itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here