Anwar desak kerajaan segera bertindak selesai isu banjir

0
2

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menyelesaikan masalah banjir dengan menyegerakan projek tebatan banjir demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan perlu menangguhkan dahulu segala projek mega yang menelan belanja berbilion ringgit, sebaliknya menumpukan usaha mengatasi isu banjir.

“Semalam hujan lebat yang berterusan dalam kadar yang amat luarbiasa telah menyebabkan air naik dan menenggelamkan sebahagian kawasan di ibu negara.

“Saya pernah membangkitkan permasalahan ini tatkala berbahas di Dewan Rakyat sewaktu Sesi Penerangan oleh Menteri-Menteri pada 20 Januari lepas terkait musibah banjir hujung tahun lalu,” katanya menerusi Facebook.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau juga pernah mengusulkan projek infrastruktur dalam rangka tebatan banjir termasuk perparitan dan konsep ‘sponge city’, atau projek takungan air.

“Kita juga faham masalah perparitan dan projek tebatan banjir semestinya menelan kos yang tinggi. Namun, keutamaan segera mesti ada untuk selesaikan masalah ini.

“Banjir yang melanda sebahagian Kuala Lumpur semalam mengesankan ribuan pengguna jalan raya, dan menjejaskan mereka yang tinggal di kawasan-kawasan yang terpinggir.

“Saya mendesak kerajaan untuk bertindak segera dan maklumkannya secara terbuka,” katanya.

Semalam, media melaporkan, beberapa laluan utama di Lembah Klang dinaiki air susulan hujan lebat kira-kira dua jam bermula jam 3 petang.

Kejadian itu turut menyebabkan puluhan kereta terperangkap di jalan raya dan ada antaranya tenggelam apabila kawasan parkir dinaiki air.

Lokasi terbabit termasuk Jalan Chan Sow Lin, Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Kuching dan Jalan Raja Laut.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh berkata, beberapa lokasi di ibu kota menerima taburan hujan hampir lima kali ganda daripada jumlah biasa sekali gus menyebabkan banjir kilat, semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here